Friday, February 13, 2009

Wuduk Zahir dan Wuduk Batin

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wuduk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air".

Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

  1. Bertaubat
  2. Menyesali dosa yang telah dilakukan
  3. Tidak tergila-gilakan dunia
  4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riak)
  5. Tinggalkan sifat berbangga
  6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
  7. Meninggalkan sifat dengki."
Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
  1. Aku sedang berhadapan dengan Allah,
  2. Syurga di sebelah kananku,
  3. Neraka di sebelah kiriku,
  4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
  5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."
"Di samping itu setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Siapa Takbur Dia Dikeji

Mansur bin Ammar Rahimahullah Taala berkata; terdapat kata-kata hikmah;

  • Sesiapa yang melihat-lihat keaiban diri, dia tdak akan peduli keaiban orang lain.
  • Sesiapa yang tidak mengenakan pakaian takwa, dia tidak akan ditutupi dengan suatu apa pun.
  • Sesiapa yang reda rezeki Allah, dia tidak akan sedih dengan apa yang ada di tangan orang lain.
  • Sesiapa yang mencabut pedang kezaliman, dia akan memotong tangannya.
  • Sesiapa yang menggali telaga untuk saudaranya, dia akan terjatuh ke dalamnya.
  • Sesiapa yang mencabut hijab (penghadang) orang lain, akan terbukalah auratnya (keaibannya).
  • Sesiapa yang memendamkan sesuatu perkara, dia akan mendapat celaka.
  • Sesipa yang membahayakan dirinya, dia akan binasa.
  • Sesiapa yang tidak menggunaka akalnya, dia akan dihina.
  • Sesiapa yang bersifat takbur dengan manusia, dia akan dikeji.
  • Sesiapa yang menyelidiki dengan mendalam sesuatu pekerjaan (perkara),dia akan berasa jemu.
  • Sesiapa yang tidak berpengalaman dalam setiap urusan, dia akan dikhianati
  • Sesiapa yang tahu ajal mautnya, akan pendeklah impiannya.
  • Sesiapa yang bersahabat dengan oramg rendah akhlak, dia dipandang hina.

Bermotivasi Tinggi

Heaven's GateSejarah telah menunujukkan bahawa tokoh pada setiap zaman adalah orang yang bermotivasi tinggi. Bagaimana Edmund Hillary boleh menawan puncak Everest sekiranya tidak ada motivasi diri yang tinggi. Bagaimana pula Jaques Costeau berupaya menawan dasar laut jika beliau sendiri ragu-ragu akan kebolehan diri sendiri.

Apabila kita bermotivasi tinggi. lazimnya kita;

  • Lebih bersemangat serta bertenaga untuk melakukan sesuatu kerja dengan lebih baik.
  • Tidak mudah berputus asa dan lebih bersedia menghadapi pelbagai halangan dan cabaran.
  • Akan berikhtiar mencari jalan bagi memastikan matlamat yang ditetapkan dapat dicapai
  • Bersikap positif dan yakin kepada diri sendiri
Dengan memiliki sifat-sifat di atas kita lebih bersedia menghadapi bermacam-macam kemungkinan. Perkara yang kelihatan sukar dan mustahil pada orang lain akan menjadi mudah kepada kita. Perbezaan ini adalah kerana pengaruh tahap motivasi diri yang ada pada seseorang.

Mereka yang bermotivasi rendah tidak mampu menyelesaikan walaupun perkara itu kecil. Mereka lebih gemar mencari alasan dan menuding jari kepada orang lain.

Kesimpulannya dengan bermotivasi tinggi, halangan dapat dirempuh dan cabaran dapat ditangani. Pendek kata kerja menjadi lebih mudah. Sebagaimana kata Robert Kennedy,
"Jika kita bermotivasi tinggi, yang mustahil pun kelihatan mudah. Jika kita tidak bermotivasi, yang mudah pun kelihatan mustahil."

Apa Erti Disiplin?

Disiplin adalah memberi tumpuan sepenuhnya ke atas sesuatu tugas sehingga ia selesai dikerjakan dengan sempurna.

Kita perlu tanya diri sendiri, "Apakah tugas utama yang perlu saya kerjakan dengan sempurna sekarang?" Jika kita sentiasa peka dengan soalan berkenaan, kita akan sentiasa memberi perhatian kepada tugas-tugas utama kita. Dengan berbuat demikian nescaya kejayaan dapat dicapai dengan lebih mudah. Justeru, untuk berjaya kita mesti berdisiplin.

Ramai orang memulakan sesuatu tugas dengan baik, namun gagal menghabiskannya. Kerja tersangkut di tengah jalan. Ada sahaja perkara yang mengganggu mereka. Mereka ini sebenarnya kurang berdisiplin.

Jadi berdidiplin bermakna apa sahaja tugas yang kita lakukan, kita laksanakannya sehingga selesai. Kita tidak mudah diselewengkan atau dilencongkan untuk membuat kerja-kerja lain yang tidak berkaitan yang boleh menjejaskan kerja utama kita. Pelajar yang berdisiplin tahu bahawa salah satu tugas utama di sekolah ialah berusaha untuk memperoleh keputusan cemerlang. Dari awal tahun lagi kita harus belajar bersungguh-sungguh sehinggalah ke hujung tahun.

Tanpa disiplin kita mudah diganggu oleh pelbagai aktiviti bukan akademik yang lain, hobi, kawan-kawan dan sebagainya. Jadi berdisiplin bermakna kebolehan memberi tumpuan ke atas sesuatu tugas sehingga selesai dikerjakan dengan sempurna.

Renungan Terhadap Hidup Manusia

Orang Aceh pulang ke Aceh,
Manisan lebah dalam perahu,
Tidur sebantal hilang kasih,
Hati berubah siapa tahu?

Pisau raut hilang di rimba,
Pakaian anak raja Judah,
Karam di laut boleh ditimba,
Karam di hati bilakah sudah?

Gesek rebab petik kecapi,
Burung tempua mengangkut sarang,
Apa sebab jadi begini,
Karam berdua basah seorang?

Pergi ke padang menyuluh semut,
Jatuh andang lintang-pukang,
Tidur terlentang tarik selimut,
Baru tahu diri seorang.

Beringin di tepi bakau,
Tambatan ayam tedung jalak,
Hati ingin memandang pulau,
Perahu ada kemudi tidak.


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Archithings. Powered by Blogger